assalammualaikum


Thursday, 28 February 2013

SAHSIAH DIRI

Assalamualaikum dan Salam Perkongsian buat pembaca yang budiman. Dalam usaha menyebarkan ilmu atas semangat berkongsi antara manusia, saya telah dipilih untuk oleh Allah swt untuk mengadakan satu sesi ceramah di SMK Taman Datuk Harun mengenai sahsiah diri. Sahsiah Diri merupakan satu asas yang penting bagi meningkatkan kecemerlangan diri.(sambung...)

Kuasa Percaya

Assalamualaikum dan Salam Ilmu kepada semua insan yang terpilih untuk membaca hasil penulisan ini. Sesungguhnya, apabila anda membaca penulisan ini, itu bermakna anda telah dipilih oleh Allah swt. bagi meningkatkan potensi dan kemampuan diri anda. Dalam hal ini ramai manusia di luar sana tertanya-tanya tentang impian dan cita-cita mereka. Penulis sangat yakin bahawa ramai orang di luar sana sudah mengetahui kekuatan dan potensi mereka. Namun, potensi ini hanya tertanam di dalam jiwa mereka dan tidak pernah dikeluarkan bagi meningkatkan kecemerlangan diri dan mencapai impian. Hal ini kerana ia telah dipengaruhi oleh kepercayaan karut dan sikap mereka sendiri. Keadaan ini sangat berkait rapat dengan tahap Kuasa Percaya dalam diri.

Kuasa Percaya adalah satu keyakinan dan fikiran yang positif tentang masa depan atau apa yang akan berlaku. Hal ini telah lama dibincangkan oleh tokoh-tokoh ilmuan islam dalam usaha untuk meningkatkan keimanan terhadap Allah swt. Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas sewaktu zaman Rasulallah saw berdakwah untuk menyebarkan agama Allah swt. Rasulallah saw adalah contoh manusia yang paling positif tentang kekuasaan Allah swt kerana ia dapat dibuktikan melalui sejarah peperangan yang berlaku pada zaman tersebut. Walaupun jumlah tentera islam itu sangat sedikit berbanding tentera musuh tetapi Kuasa Percaya Baginda terhadap pertolongan Allah swt sangat tinggi dan akhirnya islam berjaya mencapai kemenangan. Di samping itu, Baginda juga telah berjaya menanam keyakinan dan kepercayaan umatnya tentang Tuhan yang satu. Percaya pada suatu perkara yang tidak nampak adalah satu kekuatan yang sangat hebat. Kuasa Percaya ini telah dipupuk oleh baginda kepada seluruh umat islam. Hal ini dapat dilihat melalui kejayaan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menakluki Kota Konstantinople yang berlaku pada bulan ramadhan. Ketinggian Kuasa Percaya yang ada dalam jiwa Muhammad Al-Fateh dapat dilihat melalui tindakannya membakar kapal perang dan terus mara ke medan perang dengan keyakinan yang tinggi bahawa mereka akan menang dengan bantuan ALLAH SWT. Persoalannya, bagaimana dengan Kuasa Percaya pembaca tentang masa depan anda? Adakah anda yakin anda akan mencapai impian anda?




Sebenarnya jika kita bincang tentang peperangan dalam islam, saya yakin anda juga pernah mendapat maklumat tentang hal ini. Kebanyakan peperangan yang berlaku tentera islam sangat sedikit berbanding musuh, tetapi masih mampu mencapai kemenangan. Ini adalah bukti kehebatan Kuasa Percaya yang ditanam oleh Baginda dalam jiwa umat islam dan telah menguatkan keyakinan mereka. Namun, kini sudah jauh berbeza kerana umat islam pada hari ini semakin leka dengan kehidupan dan kian hilang keyakinan tentang bantuan Allah swt. Di sini saya ingin kaitkan Kuasa Percaya dengan target sebagai seorang pelajar kerana pelajar hari ini umpama gajah sarkas. Gajah sewaktu kecil ditambat dengan rantai yang besar menyebabkan ia tidak mampu bergerak bebas. Namun, setelah ia besar, gajah ini diikat dengan rantai yang kecil tetapi ia tidak mampu bergerak bebas kerana merasakan tidak mampu untuk putuskan rantai itu. Begitu juga dengan sikap dan fikiran manusia, sewaktu kecil ia telah ditanam kepercayaan karut oleh orang sekeliling seperti "jangan memanjat pokok, nanti jatuh pecah kepala dan mati". Hal ini tanpa sedar telah mewujudkan rasa takut dan tidak yakin dalam diri mereka. Mungkin ada cara lain untuk tegur supaya anak tidak panjat pokok seperti ajak anak-anak main perkara yang mereka suka.

Kepercayaan karut ini wujud akibat didikan dan pemerhatian seseorang dan ia boleh mempengaruhi tahap keyakinan seseorang tentang impian dan target mereka. Pendekatan bakar kapal oleh Muhamad Al-Fateh adalah satu kaedah yang sangat jelas betapa yakinnya seseorang itu tentang bantuan Allah swt. Allah swt telah berfirman "Aku berada pada setiap sangkaan hamba-hambaKU". Hal ini membuktikan kejayaan itu bermula dengan rasa yakin tentang kejayaan. Keyakinan tentang kejayaan atau Kuasa Percaya ini juga merujuk kepada keazaman yang tinggi dalam mencapai sesuatu dan akhirnya menggerakkan seluruh anggota untuk bertindak dengan suatu gerakan yang sangat luar biasa. Keadaan ini terhasil dari lubuk hati yang terlalu memahami tentang sebab sesuatu target itu wujud. Contoh, pelajar ingin mendapat 9A PMR untuk ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka. Hal ini juga boleh dikaitkan dengan sebab kenapa target itu mesti dicapai. Muhamad Al-Fateh berjuang habis-habisan kerana ingin membuktikan kehebatan islam dan meletakkan agama Allah swt di tempat yang tinggi. Hal ini sangat berkait rapat dengan rasa tanggungjawab. Begitu juga dengan seorang pelajar yang belajar bersungguh-sungguh kerana rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa. Apakah kaedah bakar kapal yang sesuai untuk seorang pelajar? Bagaimana ia boleh membantu pelajar cemerlang dalam akademik?

Nyatakan target anda pada sahabat anda. Tuliskan target anda pada sekeping kertas untuk tatapan umum. Keadaan ini membuktikan ia telah tertanam di lubuk hati dan meletakkan keazaman yang tinggi untuk berjuang. Tuliskan pada sekeping kertas "Ya Tuhanku!!! Jayakan impian Nurul Hana(SMK Bandar Rinching) untuk mencapai 9A PMR 2013" dan gulung serta ikat dengan benang yang cantik seterusnya bagi kepada kawan. Adakah kawan akan membuka dan membacanya? Jika ya, bermakna mereka mendoakan Nurul Hana. Perkara ini boleh ditampal pada dinding rumah dan semua ahli keluarga akan membacanya. Adakah anda berani melakukan perkara ini? Jika ya, bermakna anda mempunyai KUASA PERCAYA yang tinggi dan saya yakin bahawa anda pasti berjaya.

Akhir kalam dari saya, bergeraklah dengan kuasa percaya kerana Allah swt sentiasa berada pada sangkaan hambaNYA. Kenalpasti impian anda, biarkan apa orang kata tentang anda. Yang penting adalah usaha dan tindakan anda. Saya mendoakan anda yang mempunyai impian. Nyatakan impian anda kepada saya: imran_wec@yahoo.com.



Sunday, 17 February 2013

Psikologi Sosial

Psikologi Sosial pada umumnya merujuk kepada gabungan ilmu Psikologi dan Sosiologi yang mula dipelajari secara meluas bermula pada 1930. Bidang ini mengkaji secara terperinci mengenai fakta-fakta atau kejadian tertentu dalam kehidupan seharian manusia. Walau bagaimanapun, ia juga telah diertikan kepada beberapa pendapat yang telah dinyatakan oleh ahli-ahli psikologi seperti Gordon Allport, Myers dan lain-lain. Menurut Gordon Allport, 1968, seseorang itu boleh digelarkan sebagai psikologi sosial sekiranya individu tersebut berupaya untuk memahami, menjelaskan, dan membuat ramalan tentang bagaimana fikiran, perasaan dan tindakan individu itu dipengaruhi oleh fikiran, perasaan dan tindakan orang lain. Manakala menurut Myers, 1983, Psikologi Sosial merujuk kepada ilmu saintifik yang mengkaji tentang bagaimana manusia berfikir, mempengaruhi dan kaitannya dengan persekitaran.

Berdasarkan pandangan ahli psikologi tersebut, ia telah menunjukkan bahawa wujudnya hubungan antara ilmu psikologi dan ilmu sosiologi. Namun, ada juga pendapat menyatakan bahawa ilmu ini boleh dilihat melalui beberapa perkara yang sangat jelas seperti pembentukan tingkah laku manusia yang terhasil dari keadaan sekeliling. Hal ini sangat jelas melalui pembentukan tingkah laku anak-anak yang dipengaruhi oleh sikap dan cara pemikiran ibu bapa atau cara gaya keibubapaan. Oleh itu, ilmu dijadikan satu landasan untuk membantu manusia untuk menilai sesuatu perkara sama ada ia positif atau sebaliknya. Di samping itu, masyarakat juga boleh mengenalpasti kewujudan ilmu ini melalui beberapa perkara yang wujud dalam kehidupan seharian seperti hubungan kekeluargaan, percintaan, kewangan, dan gejala sosial yang sering diperkatakan oleh ahli masyarakat. Perkara ini saya kongsikan kepada semua pembaca kerana ia mempunyai hubugan yang sangat rapat dengan kehidupan seharian. Bagaimana ia boleh dikaitkan dengan status pembaca sebagai pelajar, ibu bapa, guru, ahli perniagaan dan sebagainya?

Kenapa ilmu ini boleh dikaitkan dengan pelajar? Hal ini adalah kerana tingkah laku terbentuk akibat daripada pemerhatian mereka terhadap keadaan sekeliling(Edwi Arief Sosiawan). Sekiranya golongan ini berada dalam kalangan masyarakat yang bersikap positif, maka kemungkinan mereka juga bersikap positif adalah tinggi. Namun, jika sebaliknya ia juga akan membawa pelajar tersebut ke arah yang lebih teruk akibat persekitaran yang negatif. Hal ini perlu disedari oleh semua pelajar bagi memastikan matlamat mereka dalam pendidikan tercapai. Pada pandangan saya, tiada pelajar yang kini berada di alam persekolahan tidak mahu berjaya. Namun, mereka sering leka dengan persekitaran yang tidak pernah jemu mempengaruhi corak hidup mereka. Oleh itu, para pelajar mesti bijak untuk mengenalpasti sesuatu perkara sama ada positif atau negatif. Dalam hal ini, pelajar harus sentiasa menilai sudut rutin harian mereka dan bandingkan dengan impian mereka. Contohnya, adakah rutin harian yang suka melepak dan tidur di dalam kelas boleh membawa pelajar tersebut untuk mencapai keputusan cemerlang? Bagi memastikan matlamat akademik tercapai, pelajar harus bijak memilih kawan kerana ia akan dapat mewujudkan suasana positif sebagai seorang pelajar yang setiap saat berjuang untuk kecemerlangan.

Seterusnya adalah ibu bapa, bagaimana ilmu ini penting difahami oleh ibu bapa. Dalam hal ini, ia sangat berkait rapat dengan cara gaya keibubapaan. Antara gaya keibubapaan yang wujud dan sering keperkatakan oleh ahli psikologi adalah autoritatif, autoritarian, dan permisif. Kesemua jenis gaya keibubapaan ini boleh mempengaruhi personaliti pelajar atau anak-anak. Hal ini dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan oleh Che Hasniza Che Noh dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM) tentang Hubungan Keluarga Dari Aspek Komunikasi dan Gaya Keibubapaan. Pengaruh gaya keibubapaan terhadap anak dapat dilihat melalui tahap keyakinan, kemahiran psikososial dan tingkah laku. Contohnya, anak-anak yang agresif biasanya lahir dari kalangan ibubapa yang bersikap autoritarian yang merujuk kepada ibubapa yang bersikap kuku besi. Manakala anak-anak yang hebat pula lahir dari ibubapa yang mengamalkan gaya autoritatif yang tegas dalam mendidik tetapi bersikap terbuka.

Di samping itu, bidang psikologi sosial ini juga boleh dikaitkan dengan bidang kerjaya seperti guru kerana ia juga melibatkan proses pembentukan jati diri dan tingkah laku yang seimbang, cemerlang, gemilang dan terbilang. Hal ini menekankan tentang kemahiran berkomunikasi dan seni mendidik dalam diri seorang guru. Seterusnya adalah kerjaya ssebagai  ahli perniagaan, di mana golongan ini juga sangat perlu mahir berkomunikasi untuk mempengaruhi prospek atau pelanggan.  Selain itu, sifat memahami juga bagi mengenalpasti kehendak pelanggan.

Walau bagaimanapun, ilmu ini juga secara umumnya perlu difahami oleh semua orang bagi meningkatkan produktiviti diri dalam kehidupan seharian. Sebenarnya, ia berlaku tanpa kita sedari kerana ia juga adalah rutin harian kita. Oleh itu, sebarang masalah harian yang  kita hadapi boleh dirujuk pada ahli psikologi atau kaunselor kerana mereka sangat memahami. Setakat ini sahaja, perkongsian dari saya. Nantikan kemunculan penulisan saya tentang satu kuasa yang boleh membawa manusia ke arah kejayaan. APA ITU KUASA PERCAYA??? Setting Mind???


Thursday, 14 February 2013

Mukaddimah

Assalamualaikum dan Salam Senyum
TAHNIAH!!! Saya ucapkan kepada semua yang berkesempatan untuk mengunjungi laman ilmu ini. Di sini suka untuk saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu kepada para pembaca kerana perkenalan itu adalah asas kepada sesuatu perhubungan. Nama diberi oleh seorang wanita yang sangat cantik dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan pasangannya iaitu seorang lelaki yang begitu handsome dari negeri serambi Mekah adalah MOHAMAD IMRAN BIN AZIZ yang dilahirkan oleh ALLAH SWT pada 22 Mei 1988. Saya diberi peluang oleh ALLAH SWT untuk mendapat pendidikan awal di SK Jeli 1 dari darjah 1 hingga darjah 6. Kenangan di sekolah rendah ini telah membuat saya melantun jauh sehingga terpilih untuk menjadi mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Psikologi Sosial setelah menamatkan pengajian di SMK Jeli dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 dan STPM di SMK Ayer Lanas sebagai pelajar tingkatan 6.

Pengalaman sebagai mahasiswa telah mematangkan corak pemikiran saya ke arah seorang ahli psikologi sosial yang bermatlamat untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam arus dunia yang kian mencabar ini. Saya mempunyai pelbagai pengalaman kerja yang menarik dan mencabar seperti Penceramah EMPOWER, Penceramah PLKN, Jurulatih Pemasaran MLM, Pengedar Produk Kesihatan dan sebagainya. Sekarang merupakan Penceramah di Wirajaya Excellence Consultancy dan Eksekutif Pemasaran di Man Team Resources. Saya mempunyai pelbagai kemahiran yang melibatkan bidang Psikologi seperti Ujian Personaliti, Ujian Tahap Kemurungan, dan Ujian Tahap Penyalahgunaan Dadah.

Di samping itu, saya juga merupakan jurucakap Produk Kesihatan dan juga sering dijemput mengadakan ceramah kesihatan dan Produk Minda kepada ibu bapa dan juga pelajar sekolah. Dalam hal ehwal produk kesihatan ini, saya memfokuskan kepada pemakanan minda yang sangat bermutu tinggi dan mempunyai nilai rawatan minda yang sangat baik melalui isi kandungannya. Antara produk minda yang sering mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi adalah C3 SPIRULINA dan BIO-B yang kaya dengan pelbagai khasiat. Saya juga ada menulis tentang kedua-dua produk ini secara terperinci berdasarkan penulisan pakar produk dari syarikat pengeluar dan juga pakar pemakanan minda. Penulisan tentang pemakanan minda tersebut adalah bertujuan untuk membantu pelajar dan ibu bapa dalam meningkatkan pencapaian akademik.

Sebagai seorang ahli Psikologi Sosial dan Pakar Pemakanan Minda, saya wujudkan laman ini untuk berkongsi dengan semua pembaca bagi meningkatkan tahap budaya positif dalam kalangan masyarakat Malaysia. Oleh itu, saya dengan sukahati sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk para pembaca berkaitan hal ehwal Psikologi Sosial dan Amalan Pemakanan yang baik untuk perkembangan minda yang lebih cemerlang. Jika adalah sebarang persoalan, hubungi saya: 019-8696385/imran_wec@yahoo.com