assalammualaikum


Thursday 28 February 2013

Kuasa Percaya

Assalamualaikum dan Salam Ilmu kepada semua insan yang terpilih untuk membaca hasil penulisan ini. Sesungguhnya, apabila anda membaca penulisan ini, itu bermakna anda telah dipilih oleh Allah swt. bagi meningkatkan potensi dan kemampuan diri anda. Dalam hal ini ramai manusia di luar sana tertanya-tanya tentang impian dan cita-cita mereka. Penulis sangat yakin bahawa ramai orang di luar sana sudah mengetahui kekuatan dan potensi mereka. Namun, potensi ini hanya tertanam di dalam jiwa mereka dan tidak pernah dikeluarkan bagi meningkatkan kecemerlangan diri dan mencapai impian. Hal ini kerana ia telah dipengaruhi oleh kepercayaan karut dan sikap mereka sendiri. Keadaan ini sangat berkait rapat dengan tahap Kuasa Percaya dalam diri.

Kuasa Percaya adalah satu keyakinan dan fikiran yang positif tentang masa depan atau apa yang akan berlaku. Hal ini telah lama dibincangkan oleh tokoh-tokoh ilmuan islam dalam usaha untuk meningkatkan keimanan terhadap Allah swt. Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas sewaktu zaman Rasulallah saw berdakwah untuk menyebarkan agama Allah swt. Rasulallah saw adalah contoh manusia yang paling positif tentang kekuasaan Allah swt kerana ia dapat dibuktikan melalui sejarah peperangan yang berlaku pada zaman tersebut. Walaupun jumlah tentera islam itu sangat sedikit berbanding tentera musuh tetapi Kuasa Percaya Baginda terhadap pertolongan Allah swt sangat tinggi dan akhirnya islam berjaya mencapai kemenangan. Di samping itu, Baginda juga telah berjaya menanam keyakinan dan kepercayaan umatnya tentang Tuhan yang satu. Percaya pada suatu perkara yang tidak nampak adalah satu kekuatan yang sangat hebat. Kuasa Percaya ini telah dipupuk oleh baginda kepada seluruh umat islam. Hal ini dapat dilihat melalui kejayaan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menakluki Kota Konstantinople yang berlaku pada bulan ramadhan. Ketinggian Kuasa Percaya yang ada dalam jiwa Muhammad Al-Fateh dapat dilihat melalui tindakannya membakar kapal perang dan terus mara ke medan perang dengan keyakinan yang tinggi bahawa mereka akan menang dengan bantuan ALLAH SWT. Persoalannya, bagaimana dengan Kuasa Percaya pembaca tentang masa depan anda? Adakah anda yakin anda akan mencapai impian anda?




Sebenarnya jika kita bincang tentang peperangan dalam islam, saya yakin anda juga pernah mendapat maklumat tentang hal ini. Kebanyakan peperangan yang berlaku tentera islam sangat sedikit berbanding musuh, tetapi masih mampu mencapai kemenangan. Ini adalah bukti kehebatan Kuasa Percaya yang ditanam oleh Baginda dalam jiwa umat islam dan telah menguatkan keyakinan mereka. Namun, kini sudah jauh berbeza kerana umat islam pada hari ini semakin leka dengan kehidupan dan kian hilang keyakinan tentang bantuan Allah swt. Di sini saya ingin kaitkan Kuasa Percaya dengan target sebagai seorang pelajar kerana pelajar hari ini umpama gajah sarkas. Gajah sewaktu kecil ditambat dengan rantai yang besar menyebabkan ia tidak mampu bergerak bebas. Namun, setelah ia besar, gajah ini diikat dengan rantai yang kecil tetapi ia tidak mampu bergerak bebas kerana merasakan tidak mampu untuk putuskan rantai itu. Begitu juga dengan sikap dan fikiran manusia, sewaktu kecil ia telah ditanam kepercayaan karut oleh orang sekeliling seperti "jangan memanjat pokok, nanti jatuh pecah kepala dan mati". Hal ini tanpa sedar telah mewujudkan rasa takut dan tidak yakin dalam diri mereka. Mungkin ada cara lain untuk tegur supaya anak tidak panjat pokok seperti ajak anak-anak main perkara yang mereka suka.

Kepercayaan karut ini wujud akibat didikan dan pemerhatian seseorang dan ia boleh mempengaruhi tahap keyakinan seseorang tentang impian dan target mereka. Pendekatan bakar kapal oleh Muhamad Al-Fateh adalah satu kaedah yang sangat jelas betapa yakinnya seseorang itu tentang bantuan Allah swt. Allah swt telah berfirman "Aku berada pada setiap sangkaan hamba-hambaKU". Hal ini membuktikan kejayaan itu bermula dengan rasa yakin tentang kejayaan. Keyakinan tentang kejayaan atau Kuasa Percaya ini juga merujuk kepada keazaman yang tinggi dalam mencapai sesuatu dan akhirnya menggerakkan seluruh anggota untuk bertindak dengan suatu gerakan yang sangat luar biasa. Keadaan ini terhasil dari lubuk hati yang terlalu memahami tentang sebab sesuatu target itu wujud. Contoh, pelajar ingin mendapat 9A PMR untuk ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka. Hal ini juga boleh dikaitkan dengan sebab kenapa target itu mesti dicapai. Muhamad Al-Fateh berjuang habis-habisan kerana ingin membuktikan kehebatan islam dan meletakkan agama Allah swt di tempat yang tinggi. Hal ini sangat berkait rapat dengan rasa tanggungjawab. Begitu juga dengan seorang pelajar yang belajar bersungguh-sungguh kerana rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa. Apakah kaedah bakar kapal yang sesuai untuk seorang pelajar? Bagaimana ia boleh membantu pelajar cemerlang dalam akademik?

Nyatakan target anda pada sahabat anda. Tuliskan target anda pada sekeping kertas untuk tatapan umum. Keadaan ini membuktikan ia telah tertanam di lubuk hati dan meletakkan keazaman yang tinggi untuk berjuang. Tuliskan pada sekeping kertas "Ya Tuhanku!!! Jayakan impian Nurul Hana(SMK Bandar Rinching) untuk mencapai 9A PMR 2013" dan gulung serta ikat dengan benang yang cantik seterusnya bagi kepada kawan. Adakah kawan akan membuka dan membacanya? Jika ya, bermakna mereka mendoakan Nurul Hana. Perkara ini boleh ditampal pada dinding rumah dan semua ahli keluarga akan membacanya. Adakah anda berani melakukan perkara ini? Jika ya, bermakna anda mempunyai KUASA PERCAYA yang tinggi dan saya yakin bahawa anda pasti berjaya.

Akhir kalam dari saya, bergeraklah dengan kuasa percaya kerana Allah swt sentiasa berada pada sangkaan hambaNYA. Kenalpasti impian anda, biarkan apa orang kata tentang anda. Yang penting adalah usaha dan tindakan anda. Saya mendoakan anda yang mempunyai impian. Nyatakan impian anda kepada saya: imran_wec@yahoo.com.



No comments:

Post a Comment