assalammualaikum


Sunday 17 February 2013

Psikologi Sosial

Psikologi Sosial pada umumnya merujuk kepada gabungan ilmu Psikologi dan Sosiologi yang mula dipelajari secara meluas bermula pada 1930. Bidang ini mengkaji secara terperinci mengenai fakta-fakta atau kejadian tertentu dalam kehidupan seharian manusia. Walau bagaimanapun, ia juga telah diertikan kepada beberapa pendapat yang telah dinyatakan oleh ahli-ahli psikologi seperti Gordon Allport, Myers dan lain-lain. Menurut Gordon Allport, 1968, seseorang itu boleh digelarkan sebagai psikologi sosial sekiranya individu tersebut berupaya untuk memahami, menjelaskan, dan membuat ramalan tentang bagaimana fikiran, perasaan dan tindakan individu itu dipengaruhi oleh fikiran, perasaan dan tindakan orang lain. Manakala menurut Myers, 1983, Psikologi Sosial merujuk kepada ilmu saintifik yang mengkaji tentang bagaimana manusia berfikir, mempengaruhi dan kaitannya dengan persekitaran.

Berdasarkan pandangan ahli psikologi tersebut, ia telah menunjukkan bahawa wujudnya hubungan antara ilmu psikologi dan ilmu sosiologi. Namun, ada juga pendapat menyatakan bahawa ilmu ini boleh dilihat melalui beberapa perkara yang sangat jelas seperti pembentukan tingkah laku manusia yang terhasil dari keadaan sekeliling. Hal ini sangat jelas melalui pembentukan tingkah laku anak-anak yang dipengaruhi oleh sikap dan cara pemikiran ibu bapa atau cara gaya keibubapaan. Oleh itu, ilmu dijadikan satu landasan untuk membantu manusia untuk menilai sesuatu perkara sama ada ia positif atau sebaliknya. Di samping itu, masyarakat juga boleh mengenalpasti kewujudan ilmu ini melalui beberapa perkara yang wujud dalam kehidupan seharian seperti hubungan kekeluargaan, percintaan, kewangan, dan gejala sosial yang sering diperkatakan oleh ahli masyarakat. Perkara ini saya kongsikan kepada semua pembaca kerana ia mempunyai hubugan yang sangat rapat dengan kehidupan seharian. Bagaimana ia boleh dikaitkan dengan status pembaca sebagai pelajar, ibu bapa, guru, ahli perniagaan dan sebagainya?

Kenapa ilmu ini boleh dikaitkan dengan pelajar? Hal ini adalah kerana tingkah laku terbentuk akibat daripada pemerhatian mereka terhadap keadaan sekeliling(Edwi Arief Sosiawan). Sekiranya golongan ini berada dalam kalangan masyarakat yang bersikap positif, maka kemungkinan mereka juga bersikap positif adalah tinggi. Namun, jika sebaliknya ia juga akan membawa pelajar tersebut ke arah yang lebih teruk akibat persekitaran yang negatif. Hal ini perlu disedari oleh semua pelajar bagi memastikan matlamat mereka dalam pendidikan tercapai. Pada pandangan saya, tiada pelajar yang kini berada di alam persekolahan tidak mahu berjaya. Namun, mereka sering leka dengan persekitaran yang tidak pernah jemu mempengaruhi corak hidup mereka. Oleh itu, para pelajar mesti bijak untuk mengenalpasti sesuatu perkara sama ada positif atau negatif. Dalam hal ini, pelajar harus sentiasa menilai sudut rutin harian mereka dan bandingkan dengan impian mereka. Contohnya, adakah rutin harian yang suka melepak dan tidur di dalam kelas boleh membawa pelajar tersebut untuk mencapai keputusan cemerlang? Bagi memastikan matlamat akademik tercapai, pelajar harus bijak memilih kawan kerana ia akan dapat mewujudkan suasana positif sebagai seorang pelajar yang setiap saat berjuang untuk kecemerlangan.

Seterusnya adalah ibu bapa, bagaimana ilmu ini penting difahami oleh ibu bapa. Dalam hal ini, ia sangat berkait rapat dengan cara gaya keibubapaan. Antara gaya keibubapaan yang wujud dan sering keperkatakan oleh ahli psikologi adalah autoritatif, autoritarian, dan permisif. Kesemua jenis gaya keibubapaan ini boleh mempengaruhi personaliti pelajar atau anak-anak. Hal ini dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan oleh Che Hasniza Che Noh dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM) tentang Hubungan Keluarga Dari Aspek Komunikasi dan Gaya Keibubapaan. Pengaruh gaya keibubapaan terhadap anak dapat dilihat melalui tahap keyakinan, kemahiran psikososial dan tingkah laku. Contohnya, anak-anak yang agresif biasanya lahir dari kalangan ibubapa yang bersikap autoritarian yang merujuk kepada ibubapa yang bersikap kuku besi. Manakala anak-anak yang hebat pula lahir dari ibubapa yang mengamalkan gaya autoritatif yang tegas dalam mendidik tetapi bersikap terbuka.

Di samping itu, bidang psikologi sosial ini juga boleh dikaitkan dengan bidang kerjaya seperti guru kerana ia juga melibatkan proses pembentukan jati diri dan tingkah laku yang seimbang, cemerlang, gemilang dan terbilang. Hal ini menekankan tentang kemahiran berkomunikasi dan seni mendidik dalam diri seorang guru. Seterusnya adalah kerjaya ssebagai  ahli perniagaan, di mana golongan ini juga sangat perlu mahir berkomunikasi untuk mempengaruhi prospek atau pelanggan.  Selain itu, sifat memahami juga bagi mengenalpasti kehendak pelanggan.

Walau bagaimanapun, ilmu ini juga secara umumnya perlu difahami oleh semua orang bagi meningkatkan produktiviti diri dalam kehidupan seharian. Sebenarnya, ia berlaku tanpa kita sedari kerana ia juga adalah rutin harian kita. Oleh itu, sebarang masalah harian yang  kita hadapi boleh dirujuk pada ahli psikologi atau kaunselor kerana mereka sangat memahami. Setakat ini sahaja, perkongsian dari saya. Nantikan kemunculan penulisan saya tentang satu kuasa yang boleh membawa manusia ke arah kejayaan. APA ITU KUASA PERCAYA??? Setting Mind???


No comments:

Post a Comment